IPIZ TALK : PENYELIDIKAN ZAKAT DAN WAKAF : PENGALAMAN ANTARA BRUNEI & MALAYSIA

Pada 24 November 2021, Rabu, Institut Penyelidikan dan Inovasi Zakat (IPIZ) Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengadakan suatu webinar khas IPIZ Talk bertajuk “Penyelidikan Zakat dan Wakaf : Pengalaman Malaysia dan Brunei”. Pelbagai input dikongsikan oleh para panel berkaitan pengalaman penyedlidikan zakat dan wakaf di Malaysia dan Brunei.

Tujuan utama forum ini diadakan adalah untuk berkongsi tentang pengalaman berkaitan penyelidikan zakat dan wakaf antara Malaysia dan Brunei. Tambahan pula, forum ini diadakan untuk memberi idea kepada ahli akademik yang menjalankan kajian baharu berkaitan zakat dan wakaf.

Menurut Pengarah IPIZ UUM, Prof. Madya Dr. Mohd Noor Habibi Hj. Long, dengan adanya forum seperti ini diharapkan kerjasama antara USIM dan UNISSA Brunei serta universiti lain dapat dijalinkan untuk memajukan penyelidikan khususnya berkaitan zakat dan wakaf.

Tambahan pula, terdapat pelbagai perkara baharu yang dikongsikan oleh para panel lebih-lebih lagi berkenaan zakat dan wakaf. Menurut Prof. Madya Dr. Hajah Rose Abdullah dari Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) Brunei, penyelidikan yang dilaksanakan berkenaan zakat atau wakaf perlulah membumi iaitu sesuatu yang boleh dimanfaatkan untuk pelaksanaan akan datang dan bukan hanya sekadar untuk kajian akademik sahaja. 

Manakala menurut Prof. Madya Dr. Fuadah dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) pula, zakat dan wakaf merupakan instrument yang merentas dunia dan juga akhirat kelak. Justeru itu, betapa pentingnya zakat dan wakaf ini khususnya bagi umat Islam.

Pihak IPIZ UUM mengucapkan ribuan terima kasih kepada para panel atas kesudian menerima jemputan sebagai panel untuk webinar khas IPIZ Talk ini. Diharapkan kerjasama di antara pihak IPIZ UUM bersama Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) Brunei akan berterusan seterusnya menghasilkan kolaborasi penyelidikan atau geran sepadan bersama.