
Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) yang menjalankan fungsi Naib Canselor, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, selama sebulan program ini dianjurkan adalah menjadi harapan beliau agar pelajar dapat menjadi perintis dalam hal pengurusan zakat, wakaf dan kewangan sosial Islam.
“Program seperti ini perlu diteruskan dan dikembangkan kepada masyarakat luar melalui perkongsian ilmu supaya dapat memberi manfaat kepada dunia akademik, pengurusan zakat dan masyarakat dengan membina karakter pengurus zakat dan kewangan sosial Islam terbaik.
“Manfaatkan ilmu yang diperoleh sepanjang program ini dan jadikan ia sebagai platform untuk menimba ilmu dan pengalaman baru dalam usaha menjadi pemimpin dan perintis yang berdaya saing dalam menguruskan zakat seiring dengan peredaran masa,” katanya pada Majlis Perasmian Penutupan Program Sekolah Pemikir Muda Zakat.
Program anjuran Institut Penyelidikan dan Inovasi Zakat (IPIZ) dengan kerjasama Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) dan Association of Shariah Advisors in Islamic Finance (ASAS) itu telah diadakan bermula 12 Ogos hingga 15 September lalu menerusi Webex.
Sementara itu, Pengarah IPIZ, Prof. Madya Dr. Muhamad Noor Habibi Long berkata, program ini merupakan program bersifat kursus jangka pendek kepada pelajar universiti seluruh negara yang sedang cuti semester.
Menurutnya, seramai 29 pelajar terpilih daripada lebih 70 pemohon dan peserta adalah dari pelbagai Institusi Pengajian Tinggi termasuk Universiti Al-Azhar, Mesir.
Katanya, program ini bertujuan untuk berkongsi ilmu mengenai pengurusan zakat dan kewangan sosial Islam yang progresif kepada pelajar sebagai persediaan menjadi pemimpin dan perintis yang berdaya saing.
Slot program diisi dengan enam sesi ceramah, forum dan tiga bengkel yang dikendalikan oleh penceramah dari UUM, LZNK, Sekolah Zakat Kedah, Association of Shariah Advisors in Islamic Finance (ASAS), Majlis Agama Islam Wilayah (MAIWP), Bank Islam dan Wakaf An Nur Johor.
Program ini turut disertai Ketua Pegawai Eksekutif ASAS, Makhtar Abdullah; Ketua Pegawai Operasi, Lembaga Pengurusan Sekolah Zakat Kedah, Dr. Mohd Faisal Mustaffa; Pengarah Program Sekolah Pemikir Muda Zakat, Dr. Mohd Sollehudin Shuib dan sekretariat Lembaga Zakat Negeri Kedah, Sekolah Zakat Kedah dan felo IPIZ UUM.