UUM ONLINE: Yan - Institut Penyelidikan dan Inovasi Zakat (IPIZ), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengadakan lawatan ke tapak projek ‘Smart Sawah Berskala Besar’ iaitu projek rintis kepada Zon Pembangunan Ekonomi Ummah (ZPEU) yang diurus selia oleh Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) di Guar Chempedak Batu 16, baru-baru ini.
Program lawatan kerja sehari tersebut diketuai oleh Pengarah IPIZ, Prof. Madya Dr. Selamah Maamor bersama-sama Timbalan Pengarah IPIZ, Prof. Madya Dr. Azizah Othman, felo-felo penyelidik dan kakitangan IPIZ.
Kehadiran deligasi IPIZ UUM ke tapak projek tersebut telah disambut oleh Pengurus Pusat Kajian Pengantarabangsaan LZNK, Dr. Hafizah Zainal dan Pegawai Bahagian Pengurusan Estet Padi LZNK, Naim Omar.
Selamah berkata, tujuan lawatan itu adalah sebagai meraikan jemputan Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Dato’ Syeikh Zakaria Othman dalam kunjungan hormat pihak pengurusan IPIZ ke LZNK pada Mac lalu.
Menurutnya, IPIZ telah diamanahkan oleh LZNK untuk mendokumen dan memantau perjalanan projek Zon Pembangunan Ekonomi Ummah yang bermula di Yan dan kini telah melebarkan operasinya ke Alor Setar dan Kubang Pasu.
Katanya, projek tersebut adalah hasil cetusan idea Prof. Dr. Zakaria Abas yang merupakan Felo Bersekutu Utama IPIZ yang turut serta dalam lawatan itu.
Dalam program lawatan tersebut, Naim telah memberikan taklimat tentang usaha projek ZPEU yang telah bermula pada 2018. Projek itu kini telah selesai satu musim dan sedang menjalani musim kedua di mana bermula dengan 10 usahawan tani dan kini telah menjadi 46 orang keseluruhan yang menyertai projek itu.
Beliau mengakui banyak cabaran getir yang perlu ditempuhi terutama ketika pengambilan tanah, proses mendapatkan kerjasama agensi berkaitan termasuk MARDI, bank-bank dan seterusnya proses pemilihan usahawan tani yang juga merupakan asnaf sehinggalah kepada perjalanan projek fasa 1.
Katanya, dugaan dan cabaran ini adalah lumrah dan usaha murni ini perlu diteruskan untuk memastikan projek Pembangunan Ekonomi Ummah ini berjaya mengeluarkan asnaf daripada status asnaf tersebut.
Warga IPIZ turut dibawa melawat keseluruhan tapak projek tersebut dan ketika lawatan, proses membaja menggunakan dron sedang berjalan. Selain tapak sawah, terdapat kolam ikan yang diusahakan sebagai usaha sampingan kepada projek ZPEU ini.
Pada masa hadapan, usahawan tani ini merancang untuk mengusahakan eco-pelancongan, restoran terapung dan banyak lagi projek-projek lain yang akan memberikan lebih banyak nilai tambah dan limpahan ekonomi kepada masyarakat setempat khasnya dan Kedah umumnya.
Pengarah IPIZ merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua warga kerja LZNK, usahawan tani dan semua warga IPIZ yang terlibat dalam program lawatan ini atas segala perkongsian pandangan dan percambahan idea baharu yang tercetus daripada program lawatan itu.
Beliau berharap agar kerjasama antara IPIZ dengan LZNK dapat diperkasakan lagi terutama dalam penyelidikan dan perundingan demi satu tujuan yang sama iaitu pembangunan Ummah.
Di akhir program, Selamah telah menyampaikan sumbangan kepada usahawan-uasahawan tani dan warga kerja LZNK atas kesudian meluangkan masa bersama warga IPIZ dalam sesi lawatan ini.
Beliau mendoakan agar urusan projek Zon Pembangunan Ekonomi Ummah ini dipermudah Allah SWT dan berjaya mencapai matlamatnya.