UUM ONLINE: Sarawak - Mengangkat tema Memperkukuh Institusi Kewangan Sosial Untuk Kelestarian Pembangunan Ekonomi Ummah, 2nd International Conference on Zakat, Tax, Waqf and Economic Development (ZAWED 2022) berlangsung kelmarin.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) Dato’ Murshid DiRaja Dr Juanda Jaya berkata, kewangan sosial dijangka memainkan peranan lebih besar dalam landskap kewangan Malaysia, dengan kewangan Islam mendahului, melengkapkan kewangan sektor awam dan penyelesaian kewangan yang didorong secara komersil.
“Apabila kewangan sosial mendapat daya tarikan, penyelarasan dan kerjasama pelbagai pihak berkepentingan adalah penting untuk mengurangkan kos pencarian dan pengedaran, serta menggalakkan keyakinan orang ramai yang lebih besar dalam pengeluaran dan tadbir urus dana.
“Usaha ini termasuk membangunkan infrastruktur yang dikongsi atau menggunakan yang sedia ada dengan lebih baik, seperti menjadikannya saling beroperasi, untuk mengurangkan halangan kepada penawaran kewangan sosial,” ucapnya ketika merasmikan ZAWED 2022 anjuran Institut Penyelidikan dan Inovasi Zakat (IPIZ) Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) dengan kerjasama Pejabat Perdana Sarawak.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Russayani Ismail berkata, sistem zakat, pengurusan wakaf, sistem cukai dan proses berkaitan perlu dikaji semula dalam memastikan semua instrumen ini benar-benar dapat memberi manfaat kepada pembangunan ekonomi ummah.
Justeru katanya, seminar ini membincangkan pendekatan dan kaedah untuk menyumbang kepada penerokaan dan amalan ilmu global yang boleh memberi manfaat kepada perniagaan dan ummah selain isu semasa berkaitan pengukuhan institusi kewangan sosial untuk kelestarian pembangunan ekonomi Ummah.
“UUM berbesar hati untuk bekerjasama dengan pihak yang berminat bukan sahaja untuk menganjurkan persidangan seperti ini, tetapi juga dalam menjalankan penyelidikan yang dipanggil geran sepadan.
“Daripada penyelidikan tersebut, kami berharap lebih banyak penerbitan boleh diterbitkan dan dikongsi seterusnya memberi manfaat kepada ummah,” katanya.
Jelasnya, UUM memainkan peranan penting dalam membantu golongan yang memerlukan selain mengajak semua pihak bekerjasama dengan lebih serius untuk mengukuhkan kapasiti dan keupayaan demi meningkatkan semua institusi kewangan sosial dan menyokong pembangunan negara.
Pengarah ZAWED2022, Prof. Madya Dr. Selamah Maamor bersyukur ZAWED2022 dapat direalisasikan di Miri yang menyaksikan seramai 140 peserta, lebih 60 kertas kerja dibentangkan dalam persidangan dengan 5 sesi selari di empat bilik perbincangan.
“Rata-rata peserta teruja mendengar perkongsian hasil penyelidikan para penyelidik dari serata dunia termasuk Brunei, Indonesia, Filipina, Nigeria dan Tanzania.
“Ramai penyelidik UUM yang menerima geran penyelidikan IPIZ-LZNK mengambil peluang membentangkan laporan akhir penyelidikan mereka manakala hasil penyelidikan mereka terus dikongsikan bersama peserta ZAWED2022,” katanya yang juga Pengarah IPIZ.
Dalam ZAWED2022 ini juga 'Best Paper Award' dan 'Best Presenter' turut dianugerahkan sebagai tanda penghargaan kepada para penulis dan pembentang yang memenuhi kriteria penganjur.
Beliau menyifatkan kejayaan penganjuran ZAWED2022 ini merupakan suatu kejayaan besar bagi IPIZ dan berharap pelancaran IPIZ 2.0 dalam ZAWED2022 terus menjadikan IPIZ lebih gigih berusaha ke arah menjadi Pusat Penyelidikan Zakat terkemuka di persada dunia.