SINTOK, 17 Januari – Institut Penyelidikan dan Inovasi Zakat (IPIZ) Universiti Utara Malaysia (UUM) membuka tirai 2024 dengan pelancaran Buletin IPIZ edisi 1/2023 keluaran dua kali setahun di Bilik Mesyuarat Senat, baru-baru ini.
Majlis perasmian dan pelancaran Buletin IPIZ telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Russayani Ismail.
Menurutnya, diharapkan buletin ini menjadi Inspirasi kepada penyelidik UUM untuk menghasilkan lebih banyak kajian berkaitan zakat yang dapat memberi impak dalam meningkatkan ekonomi masyarakat.
Katanya, selain itu, dengan pelancaran Buletin IPIZ ini, pihak IPIZ menawarkan kepada semua penyelidik untuk menyumbang artikel dan hasil kajian ke buletin yang menjadi rujukan kepada ramai pihak.
“Buletin ini sebagai wadah ilmu adalah kumpulan maklumat mengenai aktiviti IPIZ dan kejayaan IPIZ yang berjaya menyantuni pelbagai peringkat masyarakat dengan bermula dari golongan asnaf zakat sehingga penyelidik-penyelidik UUM bersama-sama mengerah keringat memikirkan jalan terbaik dalam pembangunan asnaf di negeri Kedah.
“Kejayaan melancarkan Buletin IPIZ UUM ini adalah hasil sokongan semua pihak di UUM dalam memastikan ilmu berkaitan zakat dapat disampaikan secara menyeluruh kepada semua peringkat masyarakat,” katanya.
Ketua Editor Sidang Redaksi Buletin IPIZ, Prof. Madya Dr. Mohd Farihal Osman yang juga selaku Timbalan Pengarah IPIZ menjelaskan bahawa isi kandungan buletin merangkumi sekapur sirih daripada LZNK dan UUM, Pengenalan IPIZ, berita, artikel, aktiviti IPIZ, agihan dana zakat, agihan projek dan diakhiri dengan belasungkawa mantan Felo Bersekutu Utama IPIZ UUM yang lalu, Allahyarham Prof. Dr. Zakaria Abas.
Menurutnya, semoga dengan kewujudan buletin IPIZ UUM ini dapat mengetengahkan lagi hasil kajian daripada penyelidik UUM dan memberi manfaat kepada semua pihak dalam dan luar UUM.
“Dengan kerjasama yang utuh dengan LZNK ini akan mengangkat nama LZNK dan UUM di mata dunia dan mempromosikan sempena Tahun Melawat UUM 2024 dan negeri Kedah tahun 2025,” katanya.
Hadir sama, Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC), Prof. Madya Dr. Nor Idayu Mahat; Pengarah IPIZ, Dr. Ahmad Khilmy Abdul Rahim dan Dekan Pusat Pengajian serta Ketua Pusat Tanggungjawab. – Prof. Madya Dr. Mohd Farihal Osman