1 JUN 2024 / 4 ZULHIJJAH 1445H
============================
Oleh: Nordiana Shafiee
Gambar oleh: Muhammad Shamsul Shafie
UUM BANTU LEMBAGA ZAKAT BANGUN SOSIO-EKONOMI UMMAH
UUM ONLINE: Kerjasama strategik antara Institut Penyelidikan Dan Inovasi Zakat (IPIZ) dan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) diyakini dapat meningkatkan tahap penyelidikan dan secara tidak langsung hasil dapatan dapat disebarluaskan bagi pembangunan sosio-ekonomi ummah.
Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Russayani Ismail berkata, pembangunan kelestarian zakat merupakan agenda penting dalam usaha memastikan kemakmuran dan kesejahteraan masyarakat, terutama golongan asnaf yang memerlukan.
Menurutnya, dari segi penyelidikan, UUM telah menyaksikan peningkatan yang memberangsangkan dari tahun ke tahun, menunjukkan kesedaran masyarakat yang semakin tinggi terhadap tanggungjawab zakat.
Di UUM, katanya, universiti turut serta dalam menyokong usaha-usaha ini melalui penyelidikan dan inovasi yang berfokus kepada keberkesanan pengurusan zakat.
"Melalui kerjasama yang erat antara IPIZ dengan LZNK, kami berupaya untuk memperkenalkan pendekatan baru yang lebih inovatif dan berkesan dalam pengagihan dan pengurusan zakat.
"Ini termasuk penggunaan teknologi moden seperti data analitik dan sistem maklumat bersepadu untuk memastikan ketelusan dan keberkesanan yang lebih tinggi dalam pengurusan zakat," katanya di Majlis Perasmian Program IPIZ DAY 2024 di foyer Perpustakaan Sultanah Bahiyah, pagi tadi.
Ketua Pegawai Agihan, LZNK, Mohamad Suraidi Saad berkata, LZNK telah memainkan peranan yang amat signifikan dalam memacu kemajuan dan pembangunan masyarakat melalui pengurusan zakat yang efektif dan efisien.
Menurutnya, kepercayaan masyarakat kepada LZNK sebagai institusi pengurusan zakat yang amanah dan telus juga semakin kukuh.
"Bagi pembangunan kelestarian zakat, LZNK tidak hanya terhenti pada pengagihan zakat semata-mata. Usaha untuk memastikan penerima zakat dapat keluar daripada kepompong kemiskinan dan mencapai kehidupan yang lebih baik turut diutamakan.
"Pelbagai inisiatif telah dilaksanakan termasuk program pembangunan ekonomi, pendidikan, kesihatan dan kebajikan. Usaha-usaha ini adalah selari dengan konsep maqasid syariah yang menekankan pemeliharaan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta," katanya.
Pada majlis tersebut, turut disampaikan Watikah Pelantikan Felo IPIZ 2024 kepada lapan Felo Penyelidik dan Felo Bersekutu (10 orang); Anugerah Khas Penyelidikan IPIZ kepada dua kategori iaitu Penyelidikan Berimpak Tinggi yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Selamah Maamor dan Penyelidikan Terbaik diketuai oleh Dr. Mohd Aliff Mohd Nawi serta Geran Fasa 2/2023 kepada 11 penerima dengan jumlah keseluruhan RM179,531.
Hadir sama, Pengarah IPIZ UUM, Dr. Ahmad Khilmy Abdul Rahim; Pengarah, Pusat Kajian Pengantarabangsaan Zakat Kedah, Dr. Hafizah Zainal dan pegawai-pegawai kanan UUM.