Program Jalinan Ukhuwwah Aidilfitri Bersama Komuniti Felda di Changlun, Kedah
Bersempena dengan bulan syawal Institut Penyelidikan dan Inovasi Zakat (IPIZ) telah meneruskan kerjasama dalam 3 geran penyelidikan bersama Koperasi Permodalan Felda (KPF) dalam melaksanakan satu program komuniti Jalinan Ukhuwwah Aidilfitri bersama komuniti Felda di sekitar Changlun, Kedah. Program ini telah dilaksanakan pada 7 Mei 2024 bertempat di Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS) Universiti Utara Malaysia.
Penglibatan 35 orang peserta dalam program jalinan ukhuwwah ini sangat memberansangkan apabila 31 orang peserta daripada pekerja UUM Property Sdn. Bhd. (UPSB) dan 4 orang peserta Prima Scape Enterprise yang merupakan warga komuniti Felda Bukit Tangga, Felda Laka Selatan dan Felda Guar Napai turut bersama-sama turun memeriahkan majlis ini.
Pelbagai aktiviti menarik turut dijalankan sepanjang program ini, antaranya jamuan hari raya aidilfitri, edaran bakul makanan yang disampaikan oleh Pengarah Ipiz Dr. Ahmad Khilmy bin Abdul Rahim kepada pengurus Felda dan Warga Felda, perkongsian ilmu literasi kewangan oleh Dr. Abrar bin Muhammad Bahaman, dan perkongsian kesihatan mental. Para peserta turut berasa teruja apabila mereka berkesempatan menambah ilmu mengenai literasi kewangan, hal ini kerana perkongsian ini membuka minda mereka dalam merancang kewangan dengan baik. Bukan itu sahaja, program kesihatan mental yang di sampaikan oleh Puan Nor Hafizah turut mendapat respon yang positif daripada para peserta.
Di samping itu, perbincangan antara IPIZ dan pengurusan Felda juga turut membawa respon yang baik apabila mereka berminat meneruskan kerjasama dalam Perundingan Pembangunan Modal Insan. Oleh itu, diharapkan kerjasama ini akan dapat dikekalkan dan berterusan di masa akan datang.