SINTOK: Majlis Agama Islam Kedah (MAIK) telah mengadakan lawatan kerja ke Institut Penyelidikan dan Inovasi Zakat (IPIZ), Universiti Utara Malaysia (UUM), baru-baru ini.
Timbalan Pengarah IPIZ, Prof. Madya Dr. Mohd Farihal Osman berkata, kunjungan ini diadakan bertujuan untuk menjalinkan hubungan antara IPIZ dan MAIK serta berkongsi pengetahuan dan pengalaman yang berharga kepada pihak MAIK.
Selain itu, menurutnya, kunjungan ini juga memberi peluang kepada kedua-dua pihak untuk bertukar pandangan dan idea mengenai pendekatan inovatif yang boleh diambil termasuk penggunaan teknologi terkini dalam meningkatkan keberkesanan penyelidikan dan penyaluran zakat kepada asnaf.
“Kunjungan ini adalah kali pertama daripada MAIK ke IPIZ dan pihak kami amat berbesar hati menerima kunjungan mereka.
“Kedatangan delegasi MAIK bukan sahaja merupakan satu penghormatan tetapi juga peluang berharga untuk memperkenalkan IPIZ kepada institusi yang mempunyai peranan penting dalam pengurusan hal ehwal Islam di negeri Kedah,” katanya.
Kedatangan MAIK melibatkan 13 pegawai MAIK yang diketuai oleh Penolong Setiausaha/Ketua Bahagian Khidmat Pengurusan, Abdul Malik Shaari.
Dalam sesi perbincangan yang diadakan, Dr. Mohd Farihal telah membentangkan dan menerangkan dengan terperinci mengenai idea-idea inovatif yang boleh digunakan untuk menambah baik penyelidikan di IPIZ kepada MAIK.
Beliau menekankan pentingnya pendekatan bersepadu yang melibatkan kolaborasi antara penyelidik, pihak industri, dan komuniti setempat bagi memastikan hasil penyelidikan bukan sahaja relevan, tetapi juga dapat memberi impak yang positif terhadap masyarakat.
Dengan menggariskan strategi-strategi yang praktikal dan berdaya maju, lebih banyak penyelidikan yang dapat menyokong pembangunan dan keberkesanan pengurusan zakat dapat dihasilkan.
Selain itu, latar belakang dan fungsi IPIZ diperkenalkan kepada MAIK memberikan gambaran menyeluruh tentang visi dan misi institut ini.
“Kerjasama ini dapat memberikan impak yang positif bukan sahaja kepada kakitangan di IPIZ tetapi juga kepada masyarakat secara keseluruhan. Dengan menggabungkan sumber daya dan kepakaran kedua-dua institusi, mereka dapat mencapai hasil yang lebih besar dalam pelaksanaan program-program yang bermanfaat.
“Kerjasama ini bukan sekadar mengenai pertukaran pengetahuan, tetapi juga tentang membina jaringan yang kukuh yang dapat memanfaatkan pelbagai pihak dalam jangka panjang,” katanya.
Beliau berharap kunjungan kerja ini akan menjadi titik permulaan untuk lebih banyak inisiatif bersama di masa hadapan, termasuk penyelidikan kolaboratif yang dapat menghasilkan solusi inovatif untuk isu-isu yang dihadapi oleh masyarakat.
Pihak MAIK turut dibawa mengunjungi ke Muzium Pengurusan UUM di mana mereka berpeluang melihat koleksi yang menggambarkan sejarah dan perkembangan pengurusan di universiti tersebut. Sesi kunjungan ini diakhiri dengan makan tengahari di Managers Coffee UUM. – Muhammad Nursyahmie Farhan Mohd Sokri